Wednesday, March 24, 2010

Pantun Pemimpin : Jom Gali [2]

بسم الله الرحمن الرحيم
Salam.

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya"

(Al-Baqarah:30)

Adapun bahulu, kuih Melayu,
Tiada dipanggang, dibakar mudah,
Adapun dahulu, pendapat guru,
Adapun sekarang, murid menambah.

Menyoroti post bertajuk Pantun Pemimpin : Jom Gali [KLIK] maka sepertimana dijanjikan, alhamdulillah, saya kongsikan pendapat saya berkenaan pantun :

Jika memilih tempat mandi,
Pertama teluk kedua pantai,
Jika memilih pemimpin negeri,
Pertama elok kedua pandai!


MOGA BERMANFAAT! (^^)


























Jika memilih tempat mandi :


Tempat mandi tempat untuk menyucikan diri. Daripada kotoran luar berdaki. Agar mudah untuk proses menyucikan kotoran dalam dalam dibuat menerusi ibadat. Bukankah hanya dengan mandi wajib katakan selepas bersenggama, barulah solat tahajud dua berjemaah boleh dikelek sah? Begitulah pentingnya tempat mandi dipilih jernih - dari segala bahaya yang menempel.
Pertama teluk kedua pantai :

Adapun dalam pantun di atas disyarahkan akan pilihlah teluk yang berlekuk berbanding pantai terbuka kerana sudah mahsyur seantero zaman - zaman puntung berasap hinggalah ke zaman orang berkapal wap - bahawasanya hanyalah teluk lebih baik dipilih menjadi tempat mandi berbanding pantai. Bukanlah pilihan pantai tidak pandai sebaliknya jika dibanding-banding, tempat lekuk punya benteng semula jadi yang bisa menangkis serangan taufan dan bandai. Malah, teluk kadangkala lebih landai berbanding pantai. Maka, elok bersantai di lantai teluk berbanding pantai walaupun ianya landai.

Jika memilih pemimpin negeri,
Pertama elok kedua pandai!

Maka, seumpama pentingnya memilih tempat mandi antara pilihan teluk dan pantai - yang akan menentukan sejauhmana sempurnanya akan proses bersihnya kotoran luaran berbanding dalaman - maka seperti itu jualah halnya memilih pemimpin negeri.

Ajaib! Pantun sebegini klasik sudah menunjukkan bau-bau demokrasi. Atau adakah sudah ada Melayu kasyaf yang sudah dikhabarkan perihal masa hadapan? Bahawa Melayu beraja dahulukala yang hanya menurut kata raja kadangkala sampai ke tahap membabi buta itu akan bisa memilih pemerintah negara mereka sendiri? Wallahu'alam

Makanya, pilihlah yang elok berbanding pandai. Kerana elok itu sendinya akhlak bertiangkan syariat menebalnya amat. Berbanding pandai yang selalunya bisa sahaja memandai-mandai.

Subhanallah, Maha Suci Allah! (^^)

ImageChef.com - Custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more

Sunday, March 21, 2010

Pantun Pemimpin : Jom Gali!

بسم الله الرحمن الرحيم
Salam.

“Dan (ingatlah kisah) Daud dan Sulaiman, diwaktu keduanya memberikan keputusan mengenai tanaman. Kerana tanaman itu dirosakkan oleh kambing-kambing kepunyaan kaumnya. Dan adalah Kami menyaksikan keputusan yang diberikan oleh mereka itu, maka Kami telah memberikan pengertian kepada Sulaiman tentang hukum (yang lebih tepat); dan kepada masing-masing mereka telah Kami berikan hikmah dan ilmu dan telah Kami tundukkan gunung ganang dan burung-burung, semua bertasbih bersama Daud. Dan Kamilah yang melakukannya”
(Al Anbiya:78-79)


Menyoroti post bertajuk, "Pantun Berbicara Semula - Sambungan" , maka kita dapati adanya janji saya untuk menyambung proses kita menggali pantun-pantun Melayu. Kali ini kita akan menggali pantun yang berbunyi :-

Jika memilih tempat mandi,
Pertama teluk kedua pantai,
Jika memilih pemimpin negeri,
Pertama elok kedua pandai!


Syarah kepada pantun ini saya dahulukan kalam daripada Bonda Guru Rozita Lazim terlebih dahulu sebagai ihtiram [penghormatan] kepada bonda guru saya. Bunyi balasannya sedemikian :-

Cikgu pun tidaklah tahu hendak melihat dalam-dalam. Mungkin sahaja mengadakan apa yang tiada. Namun begitu, molek juga andai pantun sebegini kita analisis dan diskusikan maknanya. Bukankah untuk kemaslahatan anak bangsa juga.

Jika memilih tempat mandi :
Mandi. Sudah tentu perlakuan mandi dikaitkan dengan perlakuan membersihkan diri. Proses membersihkan diri ini bukanlah suatu perlakuan remeh dalam Islam.

Pertama teluk, kedua pantai :
Selain untuk menjaga jeda atau sanjak biar molek, tentu sekali yang mengarang pantun ini mempunyai maksud tersirat. Lihat pemilihan tempat mandi di tempat yang airnya mengalir terus. Berbanding memilih sumur misalnya, meski dekat dengan budaya orang Melayu lama, namun airnya bertakung. Mungkin juga teluk dan pantai ini menepati perintah Tuhan menyuruh kita bermusafir.

Jika memilih pemimpin negeri :
Pemimpin negeri.
Maksudnya pemimpin segala kampung dalam negeri mungkin.

Pertama elok kedua pandai :
Di sini terletak ruang menarik untuk didiskusikan.

"Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w : Apabila amanah disia-siakan tunggulah saatnya (kehancurannya), Sahabat bertanya; Bagaimana amanah itu disia-siakan? Jawab Baginda: Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada orang yang tidak berkelayakan, tunggulah saat kehancuran."

Haha, cuba lihat betapa bijaknya nenek moyang kita mengarang pantun. Bukanlah sahaja tepat pada lumrahnya, bahkan bertepatan dengan sabda Rasulullah pula. Allah, alangkah!

Jelas sungguh yang ingin disampaikan, dari pembayang terus kepada pemaksudnya. Perlakuan membersih diri seringkali dikaitkan dengan kepemimpinan.

"Al-Qudwah Qabla Da'wah", bukan?
*Teladan didahulukan sebelum dakwah dilakukan

Sejarah Melayu mengumpamakan hubungan raja dengan rakyat seperti "Rakyat umpama akar, raja itu umpama pohonnya; jikalau tiada akar , nescaya pohon tidak dapat berdiri." Pun begitu, sungguh-sungguh kita mahu pohon yang tumbuh itu dari jelas yang terpilih, yang ahli apatah lagi penuh berkelayakan untuk memhasil ranumkan buah yang manis, dahan yang rendang.

Itu sedikit sebanyak dari pandangan di sini. Bisa sahaja terus dipolemik dan didebatkan. Ya, demi kemaslahatan agama dan bangsa!

Cuma, janganlah nanti andai Za'im menguar-uarkan ruang lingkup perbincangan ini di tembokmu, tidak perlu dikreditkan kepada cikgu. Itu sahaja.

Moga perkongsian fikrah ini berterusan. Demi Islam yang syumul, juga budaya yang bersendi syarak harus kita pelihara.

Salam kepada seorang da'ie :)

p/s : Maaf Bonda Guru, terlanjur menintakan nama (=

Apakah balasan saya, ya? Ha~ Nantikan insyaAllah di lain masa (=

ImageChef.com - Custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more