"Pantun itu juga seni Melayu"
Antara lupa ataupun tidak, aku masih ingat pada persoalan pantun dan sajak. Ketika aku peningnya lalat, melihat beberapa sajak bahasanya tinggi amat. Lalu, segera beberapa rangkap pantun aku buat, aku susun sambil melaluinya aku cuba menonjolkan diriku yang tidak beberapa gemar dengan sajak - khusus buat sajak yang menggunakan bahasa tinggi melangit.
Aku namakannya pantun ala-ala bersiri ini, yang pembayangnya mengambil pengajaran dari para pesawah yang di bendang kehijauan sebagai - Pantun Beribu, Sajak Yang Yatim
Adapun dibajak, sawah bertalu,
Sungguh runtun, segala upaya,
Adapun sajak, citarasa baru,
Sungguh pantun, klasik rohnya.
Adapun dibajak, tiada malas,
Dihancur dek ribut, habis terkandas,
Adapun sajak, terlalu luas,
Kekadang rohnya tercabut, maknanya lemas.
Adapun dibajak, sekonyong-konyongnya,
Kebal diracun, padaNya segala,
Adapun sajak, hilang ibunya,
Hanya pantun, kekal berbonda.
Tiadalah balah, pesawah di telaga,
Andai dirintik, hujan sehari,
Tiadalah salah, rasa berbangga,
Andai menyuntik, perubahan diri.
Aku tidak anti sajak membabi buta. Malah hidupnya bahasa aku kerana dihidupkan oleh sajak. Lihat sahaja pada kalam arwahnya Usman Awang, sajak ini menjadi teman sepermainan kala mula melangkah di pentas sekolah rendah dahulukala :
Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
USMAN AWANG
1979
[Rujukan]
Sajak ini mudah difahami kerna bahasanya mudah sekali. Cuma, aku agak lemas lantas membuatkan aku malas untuk menggali sajak-sajak yang kadangkala temanya mudah tetapi sengaja dibuat-buat dan ditonjol-tonjol susah oleh bahasa yang tinggi lebih dari segalah.
Kerana itu, aku lari ke pantun. Kerana tiada siapa mampu menghasilkan pantun, andai undang-undang pantun tidak diikut dan dipatuh. Mesej yang padat, menggunakan kata-kata yang singkat di samping kekuatannya pada kosa kata yang luas dan juga cermat. Tetapi itulah pantun, warisan Melayu turun-temurun. Maka, tidaklah hairan andai Melayu itu menikam dengan pantun!
Subhanallah! Alhamdulillah!
Kesimpulan, nak bersajak, bersajaklah - cuma biar difahami oleh khalayak. Nak berpantun, berpantunlah - cumar biar mengikut acuan tersusun, maknanya pula yang santun-santun!
Tiadalah kamu tanpa bonda
Tiadalah bonda tanpa nenda
Tiadalah ilmu tanpa bijaksana
Tiadalah bijaksana tanpa mencuba
No comments:
Post a Comment