بسم الله الرحمن الرحيم
Salam.
"Bayangkan jika Mark Zuckenberg, pemilik Facebook itu seorang muslim. Entah berapa banyak pahala yang dia dapat. Mencurah-curah bagaikan air sungai yang tidak berhenti. Betapa Mark Zuckenberg telah mereka sebuah sistem yang di sana terdapat sebuah nilai Islam yang paling penting iaitulah menjalinkan silaturrahim. Kawan-kawan sekolah rendah hatta tadika sekali pun yang mungkin sudah berpuluh tahun terpisah, ditemui kembali di medan facebook. Bagaimana pula yang mungkin rumahnya selang tiga empat buah sahaja namun tak pernah bersua muka, alih-alih menjadi kawan rapat. Dan banyak lagi perkara-perkara lain yang mengikat dan merapatkan silaturrahim, semua kerana facebook."
Aku memetik kata-kata ini dari Facebook seorang rakanku yang telah sudi mengabulkan permintaan aku untuk bersama-sama menuntut ilmu dari seorang guru yang sungguh berilmu. Silalah mampir ke ke sini [klik].
Aku ingin memberikan perhatian kepada bait-bait ini.
"Entah berapa banyak pahala yang dia dapat."
Benar, andai Mark Zuckenberg seorang Islam pasti dia beroleh sejuta kebaikan. Kebaikan itu adalah pahala berbentuk ganjaran menurut Islam. Dan kebaikan tidak dapat digenggam melainkan niat yang baik juga tersulam. Sungguh, matematiknya soal dosa dan pahala, bisa membuatkan seseorang teruja. Mungkin ini bezanya seorang ulama' dan ahli matematik. Dan seorang ahli matematik yang ulama' persis Al-Farazi, Al-Biruni hatta Al-Khawarizmi, pastinya dengan itu, hebat. Teringat pula sahabat dekat Sydney. Subhanallah~
Pahala dan dosa. Dalam Islam persoalan niat sudah cukup membuncahkan soal dosa dan pahala. Matematiknya begini.
Niat yang baik, pahala sudah tercatat. Satu gol. Satu jaringan tersumbat di petak gol yang unggul. Buat pula apa yang diniatkan, tambah lagi sepuluh pahala. Sepuluh gol. Sepuluh jaringan terembat ke dalam petak gol.
TETAPI
Niat yang jahat, dosa belum dicatit. Satu tinta pun tidak dicatat Malaikat 'Atid. Tetapi andai yang diniat jahat pun dibuat, astaghfirullah, satu dosa tercatat. Dosa mengundang azab. Azab adalah tidak tertanggung.
Petang semalam, baru beberapa minit berjogging di Taman Carlton yang tersergam agam bangunan Royal Exhibition Building yang diiktiraf UNESCO itu, saya sudah rasa penat. Za'im, ini baru jogging sudah rasa semput. Bagaimanakah rasa penatnya bila maut menjemput? Adakah seorang Za'im dapat bertahan daripada "berjogging" melarikan diri daripada azab Yang Maha Berkuasa? Sungguh, seorang Za'im tidak mampu. Za'im pasti tewas. Kalah. Azab pasti menyinggah. Astaghfirullah. Nauzubillah.
Tidak sekali-kali (sebagaimana yang diharapkannya)! Sesungguhnya neraka (yang disediakan baginya) tetap menjulang-julang apinya.
(Membakar serta) menggugurkan kulit ubun-ubun dan anggota anggota tubuh badan
Neraka itu juga memanggil dan menarik orang yang membelakangi serta berpaling (dari kebenaran)
[Al-Maarij, surah 70 ayat 15-17]
Justeru, mengapa seorang Za'im masih tegar membuat dosa? Mengapa seorang Za'im tidak mahu menggejar membuat amal berganda agar peroleh pahala? Astaghfirullah~
Soal pahala dan dosa bukan soal berasingan. Pahala dan dosa adalah adik-beradik yang berlainan rupa, berbeza aura. Jangan kita ingat, andai dosa bertimbun, dosa menggunung begitu tidak terhapus. Jangan kita ingat, andai pahala membukit, dosa tidak terhapus biarpun sedikit. Sedangkan matematik pahala dan dosa ini adalah matematik yang ada tambah dan tolaknya. Sungguh pahala menghapus dosa. Semakin tinggi pahala, insyaAllah, semakin merendah dosa. Justeru, mengapa masih alpa tidak mahu mengejar kebaikan?
"Waatbii sayyiatal hasata tamhuha"
Susulilah kejahatan dengan kebaikan yang memadamnya.
Ada dalam hadis 40 karangan Imam Nawawi, Rasulullah saw bersabda. Adapun pergi ke masjid juga bisa beroleh pahala, bisa dosa terhapus begitu sahaja, dan darjat di sisi Tuhan naik satu kali ganda.
Subhanallah! Aku kira jika aku tidak tahu metematik ini sudah pasti aku kecundang pada dosa. Menyesal akan dosa jangan dibuat main-main. Boleh sahaja menyebabkan diri kita sendiri bunuh diri. Tetapi Al-Islam agama yang suci mengajar kita, nyawa milik Tuhan. Kejarlah kebaikan. InsyaAllah sebagaimana yang dijanji, dosa terhapus itu pasti.
Justeru, jom buat kebaikan! Nyahkan kejahatan! Ayuh-ayuh! Jangan tangguh-tangguh! =)
Hadis Berkenaan - Hadis Pertama bertemakan Niat yang Sepertiga-nya daripada Agama
Isi-isi diperoleh dari Pengajian Hadis - Syarah Hadis 40 karangan Imam Nawawi Rahimahullah oleh Al-Fadhil Ustaz Khairul Anuar di Masjid Maryam di Werribee semalam. Al-Fadhil Ustaz mensyarahkan tentang hadis pertama semalam. Antara yang lain :-
1. Bacaan yang tepat pada zikir, "astaghfirulahalazim alazi la ilaha illa huwal HAYYUL qayyum" itu sebenarnya ialah "astaghfirulahalazim alazi la ilaha illa huwal HAYYAL qayyum". Bacaan berbaris fathah adalah bacaan yang tepat.
2. Lisan itu adalah dengan gerakan bibir dan lidah [Al-Qiraatu billisan]. Al-Quran dibaca dalam solat itu perlukan pada lisan. Maka, andai baca dalam hati, tanpa menggerakkan bibir, itu tidak betul. Hati tidak membaca, istilah baca hanya pada gerakan bibir dan lidah. Gerakan bibir dan lidah itu lisan. Dan lisan itu adalah peraturan dalam solat.
3. Sempurnakan tasydid [syaddah] dalam al-Fatihah. Hilang tasydid, makna lari. Iyyaka itu yang maksudnya "hanya dikau sahaja" boleh berubah kepada maksud "cahaya matahari" hanya dengan menghilangkan tasydid pada bacaan Iyyaka menjadi Iyaka.
4. Niat perlu bulat kepada Allah swt. Adapun perkara-perkara lain itu letak belakang. Bukankah pelik dalam hadis niat itu Rasulullah saw mencela orang yang berkahwin dalam pasukan hijrah baginda. Sedangkan kahwin-kahwin ini adalah perkara yang dipuji syarak. Orang berpasangan yang berkahwin jauh lebih mulia berbanding orang yang berpasangan tidak berkahwin. Justeru, mengapa baginda Rasulullah saw mencela golongan sebegini dalam hadis ini?
Ya, adapun dicela kerena tiada Allah swt di hati mereka. Tiada berniat pada keredhaan Allah swt dan RasulNya. Andai niat di hati pada Allah swt dan Nabi, meskipun setelah berhijrah mereka bernikah, nikah itu adalah bonus. Dan disebabkan niat, mereka peroleh darjat yang hebat di sisi Tuhan Yang Maha Kuat.
5. Kita ini hanyalah bertaraf Ibadah Hamba andai berbuat ibadat hanya takut pada Allah swt, takut neraka, takut azab semata. Kita ini hanyalah bertaraf Ibadah Saudagar andai berbuat ibadat hanya mengharapkan syurga dan pahala. Tetapi, mereka yang punya taraf Ibadah Yang Merdeka adalah mereka yang berbuat ibadat kerana sedar, aku perlu beribadat kerana itu hak Tuhan yang menjadikan. Aku hanya mahu menjadi hamba yang bersyukur. Inilah ibadat Nabi. Bukankah Nabi ikutan kita?
6. Riya' itu ada dua. Satu, berbuat ibadat kerana manusia. Dua, berbuat ibadat kerana manusia campur kerana Allah swt. Itulah makhluk buruk bernama riya' yang menggugurkan amalan. Menjadikan amalan umpama debu yang berterbangan. Nauzubillah min zalik. Kita berlindung dengan Allah daripada perkara itu.
Moga Allah swt menjadikan ilmu itu amal. Menjadikan percakapan dan penulisan suatu peringatan. Untuk insan ini beroleh keredhaan yang nikmatnya tiada tolok bandingan. InsyaAllah.
Sungguh, hidup hanya sekali, bilakah aku akan menyedari?
Sungguh, mati itu dekat, waktu itu singkat, persoalannya cuma pada satu hakikat, adakah hidup ini suatu yang berkat, atau suatu yang keparat?
Kita hamba yang fakir, maka mengapa perlu kikir?
No comments:
Post a Comment