Hayati Haiti.
Tambah menarik, Haiti sebenarnya amat berkait rapat dengan Pirates of Carribean. Haiti di Kepulauan Carribean! Di mana? Mudah cerita, di tengah-tengah di antara Amerika Utara dan Amerika Selatan. Dan semua orang yang membaca dan memastikan telinga mereka mendengar berita, akan mengetahui, Haiti sedang mengalami malapetaka. Malapetaka yang bernama gempa. Inna Lillah Wainna Ilaihim Rajiun. Sungguh benar-benar hakikatnya kita. MilikNya belaka. Dan benar-benar sungguh. Kepada Tuhan mereka, Kita semua akan pulang.
Suatu ketika, pada awal selepas kejadian, dijangkakan 100,000 jiwa telah melayang. Dan jangkaan itu disahkan malah bertambah lagi angka 10,000 daripada yang dijangkakan. Ya, itulah angka jiwa terkorban. Angka yang si anak kecil tadika merasa begitu gah mengira kerana nombornya besar. Teruja, dapat menghitung ribuan angka.
Dan sungguh, angka buruk ini belum mengambil kira, betapa ngerinya bumi Haiti akan hantu-hantu samseng yang telah berjaya meloloskan diri daripada sel-sel, pasca gempa. Mereka seakan-akan berpesta. Menggunjangi setiap manusia yang masih hidup. Berkuasa laksana takhta mereka punya. Tanpa perlu ke medan pilihan raya. Mungkin begitulah haru-biru, tahap yang paling haru. Apabila manusia menganggap undang-undang seperti udang yang boleh diganyang. Sesuka hati.
Moga Allah swt, Tuhan yang punya seinfiniti bijaksana, bisa memberikan kita petunjuk. Petunjuk berupa panduan. Agar setiap insan yang asalnya dicipta Tuhan untuk beribadah, menjadi khalifah dan hambanya yang segah ini akan benar-benar merasa, benar-benar hati tersentap, bahawa sungguh, masa bukan kita tentukan. Ia tergantung pada kehendak takdir. Takdir itu mampir dari Tuhan Yang Maha Adil.
Selidiki Gemencheh.
Adapula Gemencheh menyaksikan lebih daripada sebuah takdir menyayat hati. Merobek sukma. InsyaAllah yang terkorban moga-moga husnul khatimah. Husnu itu baik. The goodness bahasa rakyat Ratu Elizabeth Alexandra Mary. Al-khatimah itu pula penutupan. Pengakhiran. Sekali lagi, rakyat Ratu Elizabeth Alexandra Mary menamakan sebagai The End. Orang Melayu menyambung kedua-dua perkataan ini dan menamakannya sebagai Husnul Khatimah. The goodness of the end. Begitulah sepintas kisah idofah dan mudof ilaih dalam Bahasa Al-Quran. Terhenti, tiada diketahui terjemahan tepat dalam tinta kalam bangsa.
Gemencheh. Menyaksikan empat orang terkorban. Secara tuntas, 3 warga emas, seorang anak muda menjadi taruhan. Saya tidak mahu ulas panjang. Kerna saya tiada punya data yang dianalisis penuh dikaji panjang. Saya mendengar ada sedikit sebanyak kontroversi di sana-sini. Tetapi, meskipun mungkin kontroversi itu jika benar-benar berlaku suatu perkara yang sebenarnya sangat besar, tetapi tulisan ini melencong ke sudut yang lain. Takziah amat-amat kepada keluarga mangsa. Moga Allah swt mencucuri rahmat ke atas roh-roh mereka semua. Sekali lagi. Inna Lillah Wainna Ilaihim Rajiun.
Kita hayati Haiti. Kita selidiki Gemencheh. Kedua-dua kita lafazkan. Inna Lillah Wainna Ilaihim Rajiun. Itulah mungkin antara persamaan yang boleh digambarkan. Itulah, makhluk Tuhan bernama kematian.
Kematian seperti yang dinukilkan. Ada dua. Mati baik itu Husnul Khatimah. Mati buruk itu Su’ul Khatimah.
Jika merenung Husnul Khatimah pada kedua-dua cerita ini mungkin tiada apa sangat yang boleh kita dapat. Alhamdulillah, jika mangsa-mangsa Haiti dan arwah-arwah Gemencheh mati dalam Husnul Khatimah. Moga kita semua mendapatkan pengakhiran itu.
Adapun jika kita merenung Su’ul Khatimah, andai itu merupakan pengakhiran kepada mangsa-mangsa ini, [nauzubillah, moga Allah swt mengampuni kita semua] – sungguh ada pengajaran besar.
Pengajarannya ialah dalam banyak-banyak bala’ buruk Allah swt nak beri, Dia takdirkan di Haiti –bukan di Malaysia ataupun di Melbourne. Dalam banyak-banyak yang ditakdirNya terbunuh, kita yang membaca, ditakdirkan tidak turut serta. Sebaliknya dengan tidak menjadikan kita mangsa Haiti ataupun Gemencheh, itulah dinamakan peluang. Peluang itu bertaubat. Peluang untuk menginsafi hakikat. Kita hanyalah manusia lemah yang tiada langsung kudrat. Untuk menentukan diri di mana selepas hatta satu saat.
Orang yang beringat-ingat tentang ini adalah orang yang mendapat nikmat. Betapa mati itu sememangnya amat dekat. Boleh jadi satu saat. Boleh jadi berdekad-dekad. Moga setiap usia kita dilimpahi nikmat yang berkat.
Nikmat ini dinukilkan ulama’ adanya pula dua. Satu, Nikmatul Ijaadah. Dua, Nikmatul Imjahar.
Nikmatul Ijaadah dihurai sebagai nikmat menwujud, mengada dan mencipta kita. Allah swt yang mewujud, mengada dan mencipta kita. Bukan kedua ibu bapa. Kalau kedua ibu bapa itu pencipta, sudah pasti mereka mampu memilih jantina, comel cantik kacaknya anak mereka malah saiz besar mana mampu mereka tentukan. Itu kalau mereka pencipta. Tetapi hakikatnya tidak, betapa ramai yang mahu anak, masih tidak punya anak. Berapa ramai yang tidak mahu anak, beranak. Jelas, yang mencipta kita bukan ibu bapa. Tetapi Pencipta yang lebih berkuasa. Pencipta ini kita kenal sebagai Tuhan. Tuhan yang hanya satu bernama Allah swt.
Mengapa ini dipanggil nikmat? Mengapa orang yang mengenali bahawa dia itu dicipta oleh Pencipta yang bernama Allah swt yang Maha Kaya itu mendapat nikmat? Hujjatul Islam Al-Imam Al-Ghazali Rahimallahutaala ada menukilkan. Nukilan berbentuk perumpamaan. Ada tokok tambah bagi menjadikan perumpamaan segah difahami lebih mudah.
Seorang kaya membeli seekor anjing. Orang kaya yang sama menggaji seorang orang gaji. Anjing diberikan kepada orang gaji untuk dijaga dengan rapi. Diberikan orang gaji akan anjing itu makan. Diberikannya anjing itu minum. Tidur ditemankan, main dilayan. Begitulah sehari-hari hinggalah anjing itu tidak mengenali selain orang gaji itu sendiri. Begitu sayang kepada orang gaji, hatta orang kaya datang hampir disalak dijerit seakan pencuri mari. Dihambat, dikejar, menggetap giginya, menganggap orang kaya salah seorang musuhnya. Sehinggalah orang gaji itu mati. Ataupun orang gaji itu diberhentikan kerja. Anjing itu terus meracau kacau mengenangkan dirinya sudah hilang tempat bergantung. Siapa lagi akan memberikanku makan. Siapa lagi akan membelaiku minum. Siapa lagi akan tidur dan main bersama.
Kelakarnya. Sungguh menggelikan hati! Sedangkan sang anjing masih punya tuan. Bisa sahaja tuannya menggaji orang gaji yang lain. Yang lebih pandai membelai dan melayan. Bisa sahaja tuaannya memberikan makanan dan minumam yang lebih enak dan sedap. Tetapi malang. Amatlah sayang. Anjing itu yang belum sempat mengetahui hakikat siapa tuannya yang sebenar, mati. Mati merana mengenangkan orang gaji yang mati hatta sebelum dia dikurniakan orang gaji baru.
Betapa sempitnya dunia anjing ini. Dan kesempitan itu membawa kepada pengakhirannya yang sesak. Begitulah sempitnya manusia yang tidak mengenali siapa sebenarnya tempat bergantung mereka. As-somad mereka [Al-Ikhlas ayat dua]. Kerna itu, apabila ditimpa musibah, mereka cepat kalah. Menulis surat kononnya wasiat. Zupppp dari tempat tinggi mereka lompat. Akhirnya, dengan cepat, menjadi mayat.
Sama juga, apabila dilimpahi harta, mereka lupa bahagian orang miskin. Menjadilah mereka kikir. Hingga ahli keluarga sendiripun diusir. Takut-takut harta melimpah akan dirampas. Hinggalah pada suatu saat mereka sedar. Jika mereka mampu kembali ke masa silam, pasti keluarga tercinta yang yang mereka sayang dan yang menyayangi mereka akan menjadi pilihan. Bukan harta berlimpahan.
Tetapi andai manusia mengenali siapa Tuhannya. Dia akan sedar pencipta itu telah berbudi kepadanya. Lantas, dia akan sayang. Dia akan cinta. Dia akan kasih. Kepada Tuhannya sebagaimana anjing tadi yang sanggup mati mengenangkan orang gajinya. Mungkin ini penjelasan mudah mengapa orang sanggup mati di jalan Allah. Dan mengapa Allah swt sanggup meletakkan mereka di darjat tertinggi kerna mati di jalanNya. Kerna mereka mengenali siapa tuannya.
Nah, kalau kita menjadi tuan sekalipun, sudah pasti kita sayang benar pada jagaan kita, andai jagaan juga menyayangi malah sanggup mati untuk kita. Ini rasa sayang manusia. Rasa sayang Allah swt pastinya lebih dan lebih lagi.
Menjadi berbudi inilah diringkaskan dalam pepatah Arab,
Al-insanu ‘Abidul Ehsan.
Al-insanu itu insan. ‘Abidul Ehsan itu hamba kepada budi. Man is the servant of kindness, the servant of deeds. Mungkin inilah dimaksudkan dengan hamba Tuhan. Hamba yang mengenali Tuhan yang telah berbudi kepadanya, maka dia wajib senantiasa menjadi hamba kepada Tuhannya kerna dia manusia yang menjadi hamba kepada budi.
Nikmatul Imjahar pula adalah nikmat mengenali betapa diri manusia diawas. Allah swt itu mengawasi dan memantau manusia sampai ke padang mahsyar. Ini nikmat yang amat besar hakikatnya. Selepas dicipta, kita tidak dibuang begitu sahaja.
Berbeza lagaknya dengan manusia, mencipta teknologi canggih berganda, selepas dijual dikaut untungnya, segala keburukan dari teknologi dibiar sahaja. Tidak dipantau. Tidak dikawal selia. Ada juga yang membina rumah. Dibiar kosong tidak berpenghuni. Sungguh manusia tidak mampu awasi. Tidak mampu memantau. Sebab itu pelik, bila manusia masih sanggup mengaku sebagai Tuhan. Sungguh, tidak perlu menjadi seorang Fir’aun laknatullah untuk sampai ke tahap itu. Astaghfirullah. Ampunkan dosa-dosa kami. Waiyazubillah. Dan perlindungan hanya dari Allah swt.
Nikmat dipantau boleh menyebabkan diri dipukau – dengan kasih sayang Allah swt. Sedar, kita bukan berseorangan tetapi bertiga. Ada raqib, ada atibnya. Ada pengawas kanan mencatat kebaikan. Ada penyelia kiri mencoret kejahatan. Semoga Allah swt menukarkan kejahatan dengan kebaikan. Semoga kebaikan diterima sebagai amalan. Semoga amalan memudahkan kita mendapat rahmat Tuhan. Dan sungguh, tanpa rahmat, bau syurga sekelumit pun tiada siapa mampu hidu dengan nikmat.
Moga Allah swt menetapkan hati aku, hati kita semua pada jalan mengingati mati yang kian menghampiri. Moga Allah swt melembutkan hati setiap dari kita menginsafi hakikat kedua-dua nikmat ini dan mengamalkan untuk hidup yang cuma sekali.
Moga kita tidak merintih di hari kemudian dengan lafaz, “Andai Ku Tahu…”
Astaghfirullah~
Rujukan :
Al-Quran [ 112 : 2, 50 : 18, 2 : 30, 51 : 56, 70 : 24-25 ] e.g. [ Nombor surah : Nombor ayat ]
http://www.utusan.com.my/utusan/info.aspy=2010&dt=0124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm
http://minda-kembara.com/v2008/?p=2219
http://minda-kembara.com/v2008/?p=2123
Buku : “Telaga Budi” dari Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pada muka surat 107-109 susunan Annual Bakri Haron terbitan Anbakri Publika Sdn Bhd
*Nikmat di sini merujuk kepada ni'mat yang bermaksud anugerah Allah swt kepada hambaNya. Bukan merujuk kepada nikmah yang mana ia adalah berlawanan dengan ni'mat dalam Bahasa Arab. Wallahu'alam.
Harap maklum!
No comments:
Post a Comment