Saturday, April 19, 2008

Biasiswa JPA : Suatu Perjalanan



Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".
-Al-Baqarah (2:286)

Salam.


#Sekadar berkongsi cerita tentang perjalanan mengenggam sebuah biasiswa. Pengalaman sendiri! ;) Enjoy!

Alhamdulillah ! Alhamdulillah ! Alhamdulillah ! Apa lagi yang boleh saya ucapkan melainkan Alhamdulillah. Melainkan Allahuakbar. Selain daripada Subhanallah, Maha Suci Allah ! Saya teramat gembira. Saya tersangat bersyukur kerana telah dikurniakan anugerah yang besar ini. Setelah menempuh pelbagai onak dan ranjau dalam menggapai impian ini, saya kira kisah saya ini merupakan kisah yang unik. Unik kerana ia merupakan 'turning point' dalam hidup. Hidup saya yang saya kira sebelum ini lalai dan penuh dosa dan noda, kini telah bertukar angin. Nirmala yang lebih bahagia dan damai. Saya tidak sangka hamba Allah yang hina ini masih dikasihiNya. Alhamdulillah Ya Allah ! Engkau tidak pernah melupakan hambamu ini. Apakah kisah ini ? Hm… Semuanya kerana Biasiswa JPA.


POLEMIK BIASISWA
Biasiswa. Siapa tidak mahu biasiswa. Semua pelajar cemerlang inginkan biasiswa. Biasiswa bukan sekadar manifestasi kejayaan untuk menjadi insan yang lebih berjaya hingga mampu membangunkan agama, bangsa dan negara pada masa depan; bahkan biasiswa sekarang melambangkan apresiasi atas segala usaha yang telah ditintakan. Saya teringat (sepanjang ingatan yang daif ini) sebuah kartun yang dilukis oleh Datuk Lat di New Straits Times beberapa tahun yang lampau. Di dalamnya ada dua cerita bergambar. Gambar pertama berkenaan gambar sebuah kereta yang dipandu oleh seorang pegawai agensi biasiswa masuk ke kampung yang bertanah liat, merentas sawah sambil bertanyakan seorang pesawah tua di situ,

“Rumah Atan Bin Abu di mana ? Dia dapat biasiswa ke luar Negara !”

Pesawah itu kemudiannya menunjukkan jarinya ke arah rumah Si Atan di tengah bendang. Kelihatan imej seorang budak lelaki kecil sedang memukul kerbaunya untuk membajak sawah. Mungkin itulah Si Atan yang dicari.

Di sebelah gambar itu, terdapat sebuah gambar lagi. Gambar masa kini. Di mana Si Atan versi sekarang terpaksa menunggu berbaris panjang menunggu biasiswa. Seorang pembantu penemuramah membuka pintu sambil berteriak,

“Atan Bin Abu !!!!!!!!!!! ”

Imej Atan ini pula ditonjolkan sebagai seorang yang terkejut daripada tidur, yang sedang duduk menunggu giliran daripada beratus-ratus calon yang lain.Di depan pintu bilik tertera tulisan,Bilik Temuramah Biasiswa.


Saya optimis kalian mampu menduga imej yang dilukis Datuk Lat ini. Cerita yang dibawa oleh Datuk Lat ini sebenarnya menggambarkan realiti zaman sekarang. Realiti di mana makin ramai anak-anak muda yang layak mendapat biasiswa. Maklumlah, bilangan mereka yang berjaya dalam SPM pun kian bertambah. Maka, persaingan makin sengit. Hendak salahkan agensi biasiswa yang tidak memperuntukkan jumlah tempat yang banyak adalah kurang adil. Mana tidaknya, kos pengajian semakin meningkat. Oleh itu, rasanya adalah agak relevan pihak agensi biasiswa membuat pemilihan awal calon-calon yang layak memperoleh biasiswa terutamanya ke luar negara.

Rentetan itu, muncullah pelbagai versi temuramah. Daripada cara yang klasik; “individual interview” hinggalah cara yang lebih sostifikated dan pragmatik; “grouping interview, verbal tests, IQ test etc”. Semua ini bertujuan bagi memastikan biasiswa yang diperoleh nanti adalah berada di tangan yang benar-benar layak. Begitulah rencah zaman sekarang. Mahu tidak mahu generasi hari ini jika mahu berjaya lebih lagi terutamanya melanjutkan pelajaran ke luar negara, daya saing yang tinggi amatlah diperlukan bagi memastikan biasiswa dalam genggaman. Inilah realiti yang perlu dihadapi oleh anak-anak muda zaman kini termasuk diri saya.

CERITA SAYA

Buat pengetahuan semua, sepanjang hari-hari yang mendatang ini. Saya telah ditawarkan temuduga oleh 4 agensi. Securities Comissions (SC), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB). Saya tidak mahu berbicara panjang berkenaan SC, TNB mahupun PNB; cukup saya katakan saya lebih berpuas hati dengan persembahan saya; jauh lebih berpuas hati sebenarnya dengan ketiga-tiga temuduga ini berbanding JPA.

Adakah ini bermakna saya melakukan yang terburuk dalam temuduga JPA. Ya, ikhlasnya saya merasakan tidak berpuas hati dengan prestasi saya sendiri ketika ditemuduga bagi agensi JPA. Mengapa ? Entahlah. Saya pun tidak begitu pasti akan puncanya. Kendatipun begitu, apa yang istimewanya tentang temuduga JPA ini adalah cerita yang mendasari temuduga ini. Mungkin bagi calon-calon JPA yang lain di luar sana, bagi mereka perjalanan temuduga ini begitu licin dan terurus sekali. Pendek kata, cuma isi boring online, peroleh surat pengesahan temuduga, pergi temuduga, tunggu keputusan dengan penuh sabar kemudian peroleh biasiswa. Ha.. Cuma ada lima langkah sahaja.

Tetapi percaya ataupun tidak jalan yang ditempuhi saya lebih dari itu. Jika diimaginasikan, ibarat orang lain dari Perlis ke Kuala Lumpur merentasi laluan PLUS ( Projek Lebuhraya Utara Selatan ), terus memandu Poche ke Kuala Lumpur melaluinya. Tetapi saya, dari Perlis bukan sahaja tersesat jalan sampai ke Kelantan malah terpaksa menaiki Volkswagen Capuk pusing melalui Lebuhraya Timur Semenanjung kemudian terpaksa pula melalui Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan seterusnya barulah sampai ke Kuala Lumpur. Songsang dan berliku sikit la pendek katanya.

PROSES ONLINE JPA

Bagaimana ini terjadi ? Saya mulakan satu persatu. Kita mulakan dahulu dengan proses online. Online ?! Hm… Memang betul memudahkan tetapi kadangkala menyusahkan sahaja. Tetapi yang jadikan susah pun diri sendiri. Ha ! Ha ! Sebenarnya, saya mengisi borang itu secara sendirian tanpa meneliti dahulu langkah-langkah pengisian borang sepertimana yang telah disediakan oleh pihak JPA dalam laman web berkenaan. Keadaan kelihatan normal sehinggalah saya klik butang hantar dan kemudian keluarlah page yang sentiasa membuatkan orang sakit hati iaitu, page not requested.

Seperti biasa butang refresh ditekan. Tetapi sayang kendatipun sudah lima puluh kali lebih kurang, keadaan masih tidak berubah. Masih sama munculnya di skrin. Masih, page not requested. Lantas, bagi mengelakkan sebarang keraguan maka saya mengisi borang buat kali kedua. Situasi yang sama berulang. Kemudian, saya mengisi pula buat kali ketiga. Namun, sekali lagi, tak da rezeki gamaknya, masih page not requested. Saya sudah mulai resah memandangkan hanya tiga kali sahaja dibenarkan untuk log-in. Maka bagi mengelakkan sebarang rasa gundah gulana, saya mengambil jalan mudah. Pada anggapan saya, borang saya sudah diterima oleh sistem. Maka berakhirlah bab pertama.

BAB KEDUA JPA

Bab Kedua yang merupakan klimaks bagi cerita ini ialah ketika keputusan temuramah JPA diumumkan di internet. Pada ketika itu masih segar di ingatan. Saudara Faisol telah menelefon saya untuk menanyakan samaada sama mendapat temuduga JPA ataupun tidak. Memandangkan saya tidak mempunyai kemudahan internet pada ketika itu maka saya pun meminta bantuannya untuk memeriksa status saya.

Alangkah terkejutnya saya apabila diberitahunya bahawa id saya tiada dalam pengkalan data ?! Jiwa saya terus racau dan fikiran menjadi tak tentu. Lantas, saya terus memohon bantuan Saudara Rafizi untuk membantu saya bagaimanakah untuk menguruskan keadaan sebegini. Setelah diberikan nasihat agar memulakan proses rayuan, lantas di akhir perbualan dia menyatakan; “This is not a good start”. Apa lagi ketika itu saya berasa sangatlah cuak, takut dan bimbang teramat sangat akan perihal JPA. It is because if I miss this, meaning I’ll miss most of the scholarships to further my studies overseas!

BERKENALAN DENGAN ORANG JPA

Keesokan harinya awal-awal pagi lagi pejabat JPA telah saya hubungi. Dari satu bahagian ke satu bahagian. Ada ke bahagian teknikal ada ke bahagian latihan dan sebagainya. Itu tidak termasuk talian yang asyik tak berjaya saja. Akhirnya, setelah satu jam bersimpuh menelefon saya berjaya mendapatkan seorang wanita bernama Cik Aini. Saya pun mengadu kepadanya akan masalah yang saya hadapi.

Terkejut saya, reaksinya tersangatlah positif. Bukan setakat menyuarakan rasa simpatinya, malah sempat lagi dia menemuramah saya ! Alhamdulillah, akhirnya ada juga pegawai JPA yang mahu mendengar rintihanku. Haha ! Cik Aini menyuruh saya membuat rayuan melalui surat sambil disertakan dokumen-dokumen yang diperlukan dan dihantar secara pos laju. Dengan segera petang itu juga saya terus menghantar pos laju segala dokumen yang dikehendaki.

MASIH BIMBANG

Meskipun sudah menghantar dokumen rayuan itu secara pos laju namun begitu kebimbangan masih menjelma dan semakin menghantui saya. Tetapi alhamdulillah, ramai insan yang sudi membantu saya. Saudara Rafizi telah menulis surat rayuan itu untuk saya berserta summary ringkas penglibatan saya dalam bidang ko-kurikulum dan menghantarnya melalui e-mail, surat elektronik kepada pihak JPA. Begitu juga dengan ibu-ibu saudara saya, Saudari Haslina dan Saudari Nafishah serta bapa saudara saya, Saudara Azhar; begitu tekun mencari jalan bagaimana hendak membantu. Kebetulan pula rupa-rupanya guru kepada anak lelaki ibu saudara saya, Saudari Nafishah merupakan isteri kepada En Azman, Ketua Pengarah Bahagian Latihan JPA ! How small the world is ! Haha !

SC?

Suatu petang pada hari Selasa, pihak SC telah menelefon saya. Mereka menyuruh saya bertandang ke SC bagi menghadirkan diri dalam temuduga SC pada hari Khamis 2 petang di Bukit Kiara. Saya mendapat makluman pihak SC hanya menemuramah sekitar 70 orang calon sahaja daripada 500 orang calon yang memohon.

Alhamdulillah ! Malam itu juga saya berangkat pergi ke Kuala Lumpur berkereta api bersama ibu saya. Diringkaskan cerita, pada malam Rabu ketika sibuk melakukan sesi mock interview bersama Saudara Rafizi dan Saudara Faizurin, saya mendapat makluman pada hari Jumaat nanti saya perlu menghadirkan diri ke temuduga JPA di INTEC Shah Alam! Apa ?!

SURAT BERANAK PULAK !

Ketika itu saya terasa sangat gembira dan tersangatlah bersyukur akhirnya segala usaha membuahkan hasil yang dikehendaki. Saya segera meneliti laman web JPA bagi memastikan apakah dokumen-dokumen yang perlu dibawa. Saya kira segala dokumen asas sudah berada dalam simpanan sana ketika itu. Namun, timbul pula satu masalah lagi. Surat beranak ibu dan ayah tiada !!!! Masya-Allah !!! Saya terus menghubungi ibu saya di rumah ibu saudara saya. Ibu saya pula memaklumkan perkara berkenaan kepada ayah saya yang ketika itu berada di rumah di Penang. Dengan segera ayah saya terus mencari surat beranak yang dikehendaki. Puas sudah ayah mencari, lantas telefon berdering.

“Ayah tak jumpa surat beranak mak la !”

“Try cari lagi tengok, InsyaAllah ada”

“Dah cari dah tapi tak jumpa ! Habis satu rumah dah selongkar nie! Tu pun surat beranak ayah tinggal separuh ja! Separuh lagi terkoyak ! ”

Tersangatlah gamat pada waktu itu. Hanya Allah sahajalah yang mengetahui. Namun akhirnya sekitar 12 tengah malam, ayah menghubungi saya dan memaklumkan akhirnya surat beranak ibu telah dijumpai. Saya terus menarik nafas lega ! Alhamdulillah !

Yang menyebabkan saya begitu terharu adalah pengorbanan ayah saya sewaktu datang ke KL memberikan surat beranak berkenaan. Hari Khamis selepas kerja ayah saya terus ke KL menaiki bas sambil ditemani adik bongsu saya. Saya lantas berjumpanya di Stesyen Puduraya sekitar jam 10 malam.

Malam itu juga ayah saya terpaksa pulang semula ke Penang kerana dia perlu bekerja keesokan harinya. Maklumlah baru naik pangkat jadi Ketua POS, dia tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil cuti memandangkan pada ketika itu kakitangan di pejabatnya tidak mencukupi. Begitulah besarnya pengorbanan ayah saya. Sanggup melakukan apa sahaja demi kejayaan anaknya. Bagi saya, saya sayang ayah. Terima kasih ayah dan ibu ! Hanya Allah dapat membalas segala jasa-jasamu !!!!!

INTERVIEW JPA

Kita kembali ke cerita seterusnya. Dipendekkan cerita saya sudah berada di INTEC Shah Alam seawal 8 pagi. Saya agak terkejut begitu ramai calon yang datang meskipun hari itu merupakan hari terakhir temuduga JPA bagi kawasan Shah Alam. Jika di Penang hanya tiga hari kalau tak salah namun di Shah Alam sampai lima hari. Mungkin calon banyak tertumpu di sini rasanya! Di sana, saya sekali lagi terkejut kerana nama saya tidak disenaraikan dalam senarai tempat. Dengan pantas saya mendapatkan pegawai JPA memaklumkan masalah saya. Alhamdulillah juga rasanya apabila pegawai JPA itu hanya menyuruh saya menulis sahaja nama saya di mana-mana senarai yang dikehendaki. Saya terus memilih tempat pertama temuduga. Kira-kira 300 lebih calon telah datang ke INTEC pada hari berkenaan.

Seperti biasa selesai saya menduduki ujian kerjaya yang hampIr 90% soalan saya meletakkan jawapan ya; saya terus ke tempat temuduga pertama itu. Jika orang lain hanya duduk sabar menanti giliran ironinya saya pula terpaksa mengisi dua borang isian semula. Saya terus ke kafe di bawah dan tegar mengisi borang-borang itu. Dengan penuh sabar, saya mengisi.

Tiba-tiba setelah meneliti borang itu, rupanya ia merupakan borang pemarkahan temuduga. Subhanallah! Saya telah mengetahui di manakah kekuatan seseorang calon itu! Seingat saya antara ciri-ciri yang dicari ialah tatacara pemakaian, kebolehan berbahasa Inggeris dari segi kosa kata dan idea yang bernas, kebolehan berdiskusi yakni menerima, mengkritik dan respons terhadap apa yang dibincangkan serta keyakinan calon. Siap dengan markah lagi. Jadi, sebenarnya saya telah mengetahui apakah yang perlu saya fokuskan dan apakah yang perlu saya tonjolkan semasa temuduga nanti sebelum temuduga berlangsung! Saya kira ini merupakan petunjuk dari Allah s.w.t mahu memudahkan hambanya ini dari kesusahan. Alhamdulillah !

Selesai menulis saya terus mengembalikan borang berkenaan kepada pegawai JPA yang terbabit. Dengan sabar saya menanti sehinggalah saya dipanggil sebagai calon ke-11 daripada 12 orang calon sekitar jam 12.00 tengah hari. Kesemua calon adalah lelaki Melayu Islam. Kemungkinan besar pegawai JPA mahu memudahkan pengurusan kami memandangkan kami perlu solat Jumaat hari ini. Saya terus masuk ke bilik temuduga itu dengan penuh keyakinan.

Kononnya… Hati ini siapalah tahu betapa bedebarnya menjalani proses temuduga tersebut. Kami pun memulakan sesi perkenalan sesama kami. Masing-masing memperkenalkan diri. Dalam kalangan kami dua belas orang, kira-kira 6 orang calon adalah bekas pelajar SAS (Sekolah Alam Shah) dan yang lainnya MRSM dan sekolah-sekolah premier. Tampak gayanya, saya bergerak atas kapasiti hanya seorang bekas pelajar kolej. Haha ! Masing-masing menyebut nama, asal, pekerjaan ibu bapa dan bidang yang dikehendaki serta negara yang hendak ditujui. Tiba giliran saya, saya terus dengan yakin menyatakan saya nekad hendak meneruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan. Negara pilihan pula ialah United Kingdom, France dan Australia.

AMBOI BOSSYNYER!

Selesai sesi pengenalan yang boleh dikatakan merupakan pusingan awal pemarkahan temuduga, kami terus dengan pantas diberikan pilihan antara dua tajuk berkumpulan. Pertama, The Benefits of ICT dan The Impact of Reality TV. Apalagi semua mahukan ICT lah! Pegawai itu berkata ;

“O.K! We will discuss topic number one. The Impact of Reality TV !”

“But Miss, we asked for the ICT !”

“I’m the boss here ! Do what I want !
Anyway, ICT is very easy for brilliant students like you !”


Mengalah je la dengan dia. Pegawai perempuan kan… Hehe. Kami diberikan masa untuk membuat persiapan, menulis hujah-hujah yang akan dibincangkan di atas kertas. Tidak beberapa lama, perbincangan pun bermula. Mulanya, saya hendak mulakan terus. Tetapi memandangkan tetiba seseorang telah memulakannya, tidak mengapalah, saya mengalah. Selesai dia bercakap, terus saya cakap. Gebang..gebang..gebang.. Adalah dalam 5,6 minit.

Saya pun berhenti. Terus orang lain respon. Pegawai itu kemudiannya mengingatkan kami supaya angkat tangan jika hendak bercakap. Maka, kami pun terpaksalah angkat tangan. Dah tak boleh main taktik sapa cepat dia dapat! Saya pun angkatlah tangan sampailah ke akhir perbincangan tetapi pegawai tu langsung tak beri peluang saya untuk bercakap! Argh! Tensionnya !!!!

Setelah beberapa lama, maka perbincangan itu pun mulai berakhir. Setiap calon diberikan peluang untuk membuat kesimpulan. Tiba giliran saya, sambil menyimpulkan perbincangan, saya turut menyelitkan sedikit sebanyak idea saya yang gagal dilontarkan sebentar tadi. Alhamdulillah, adalah sedikit respons daripada pegawai berkenaan. Selesai sesi kesimpulan, maka berakhirlah temuduga berkenaan.

SELESAI TAPI.....

Pada hemat saya, semuanya sudah selesai. Tetapi tiba-tiba seorang pegawai itu mempersoalkan tentang surat beranak bapa saya yang tidak lengkap. Nasib baiklah, salinan IC bapa boleh dijadikan ganti, kalau tidak alamatnya terlepaslah JPA memandangkan dokumen-dokumen rasmi yang diperlukan adalah penting bagi sesi pemilihan kelak.

Selepas itu, saya terus pulang ke rumah ibu saudara saya di Sepang selepas solat Jumaat. Terus-terang saya katakan temuduga JPA inilah yang paling meletihkan dan merisaukan saya. Sudah pasti dengan persembahan saya tadi, harapan saya tersangatlah tipis untuk mendapat tajaan JPA. Saya hampir-hampir putus asa. Tetapi, bagaikan suatu penawar, tiba-tiba suatu malam saya bermimpi saya memperoleh biasiswa JPA berkenaan. Bangun saja dari tidur terus saya ketawa bersendirian. Saya kini kian optimis dan berserah sahaja segala-galaNya kepada Yang Maha Kuasa.

Khamis, 11 Mei 2006 ; 0055h

Teringat pesanan Ustaz Abdul Latif Hashim tentang solat hajat 12 rakaat. Katanya, jika kita terlampau memerlukan sesuatu, seelok-eloknya laksanakanlah solat hajat 12 rakaat. Dia pernah bercerita ketika dia terpisah dari isterinya di Masjidil Haram ketika menunaikan haji, dia bingkas melaksanakan solat hajat 12 rakaat. Alhamdulillah, setelah melaksanakannya dengan kuasa Allah, ketemu kembali isterinya sebaik sahaja sejurus selepas selesai dia melakukan solat berkenaan.

Saya pernah mencuba ketika musim SPM. Ketika itu, saya tersangatlah buntu akan subjek Biologi kerana saya yang pada asasnya sememangnya tidak minat dengan subjek berkenaan merasakan terlampau banyak subtopics yang perlu ditelaah. Kemudian, saya melakukan solat hajat 12 rakaat mohon hidayah dari Allah s.w.t. Alhamdulillah, apa yang saya telaah soalannya seakan-akan sama! Syukur pada Tuhan.

Atas sebab itulah, sekali lagi pada malam itu saya laksanakan solat hajat 12 rakaat. Dengan kuasa Allah, sebaik selesai sahaja salam rakaat yang terakhir, handset saya berdering. Saya bingkas menjawabnya. Saudara Izul rupanya. Alhamdulillah dia berjaya mendapat biasiswa JPA dalam bidang perubatan. Lantas, dia menawarkan khidmat untuk memeriksa keputusan saya memandangkan saya tidak mempunyai talian internet di rumah buat masa kini. Lantas dia meletakkan telefon. Dia terus memeriksa status keputusan saya. Saya berdebar menanti. Kemudian, handset berdering lagi.

“Alhamdulillah, ko dapat JPA !”

Alhamdulillah~

TERIMA KASIH kepada :

Ayah dan mak kerana terlalu banyak berkorban untuk Zaim; Mak Tok kerana banyak berdoa dan menenangkan minda; Auntie Lina, Uncle Azhar, Mak Ngah Ijah, Mak Uda dan Mak Lang kerana banyak membantu dan mencari jalan; Mak LangSaudara Rafizi Ramli 94 kerana terlalu banyak memberikan tunjuk ajar berkenaan soal biasiswa dan pengajian luar Negara; Saudara Faizurin, Saudara Kenoe dan Saudara Allan kerana memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi; Saudara Zulhilmi Jamaludin kerana banyak meramalkan kejayaan saya dan kerana itu dia kata, tak yah risau; Saudara Hafizuddin kerana banyak berkongsi masalah dan pengalaman; Ahli-ahli Guild yang lain yang memahami; Cik Aini pegawai JPA yang memang saya hormati atas keramahan dan kemesraan semasa proses rayuan; pegawai-pegawai JPA yang mesra membantu semasa proses rayuan dan temuduga; guru-guru yang banyak memberikan sokongan, Cikgu Umi, Cikgu Azmi Ghani dsb; adik-adik yang meriangkan hari-hari saya dan seluruh kenalan di serata pelosok negeri, TERIMA KASIH ! Hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa-jasa anda !

p/s : I got JPA scholarship under engineering program to US. A year in INTEC for the American Degree Foundation Program (ADFP), 2 years also in INTEC for American Degree Program (ADP) and 2 years for First Degree in US. Well, perhaps it’s quite late to go to overseas as compared to others. Whatever it is, what the most important for me is finally I managed to get that scholarship and managed to further my studies overseas. Alhamdulillah ! Besides, recently I got UEM scholarship to do economics to either UK or Australia. Will complete my A-Level at KYUEM for 2 years. And because of that, I declined JPA and accepted the UEM because my inclination has been always to do economics. Hehe ! Wala !

p/s : It was written long time ago and it's recently published~

ImageChef.com - Custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more


6 comments:

caliphkaai said...

waduh

panjang sekali cerita.
terima kasih kerana perkongsianmu,
akan rahsia solat hajat 12 itu.

Sanza said...

scholarship is not a game of luck. u dream about it, u work hard for it, and thats why its yours.

congratulations again - it has been 2 years since the scholarship pursuit. how time flies.

p/s - still remember the day u introduced rafizi ramli and nik nazmi to me. they made differences in my life. and so did u.

ain said...

salam
what a meaningful stories
i'm one of this year jpa cnddates
and i'm really worried bout that
intrview 2 dlm dua2 bhs ke???
anyway
thx 4 sharing ur xperience
really help me lot
and da secret of solat hajat 12 rakaat
hope u'll owez success in ur life
and may Allah bless ur life

p/s:wish me can do my best 2morro (31/3/09)

Anonymous said...

the story.... a path of life... =)
i pray for you success in every little steps you take...
=)

Anonymous said...

salam..thank sudi pengalaman awk tu..
sy skrg xdpt biasiswa jpa..but now tgh usahakan wt rayuan utk biasiswa tu..

tgh cari isi2 yg bernas utk wt rayuan..xtau la cmne..huhu..
kne anta sblm 9/9/09 ni.. :-(

abeta said...

Assalammualaikum..
sy rusila..pelajr uthm,johor..

maaf seribu kali maaf kerana sy mganggu dn mgambil masa saudara..

sy sedang mencari bagaimanakh cara untuk membuat surat rayuaan biasiswa JPA..berikutan itu sy telah membaca blog saudara semasa pencarian sy mengenai contoh surat tersbut..
jadi..
sy ingin bertya kn pendpt saudara mengenai pkara tersbut..apakh yang sewajarnya sy lakukan dan ujurkn di dlm surat tersbut agar sy mendpt biasiswa..
sy tidk mempunyai sumber kewangn untuk mengug kos pgajian sy..jdi sy amat berhrap untuk mdpat biasiswa tsbut..

semoga pendapt saudara sedikit sbyak membantu sy mdpt idea megnai pkara ini..terima kasih..

salam ramadhan..
abeta2515@yahoo.com
abeta2515@gmail.com