Sunday, April 20, 2008

Mari Tiru Fawwaz ?!

Salam.

"Apa bezanya air hujan dengan air masak?"

Hujan sedang renyai-renyai turun. Fawwaz, si kecil di pangkuan saya itu berfikir.

"Air hujan tak boleh minum, air masak boleh"

"Kenapa air hujan tak boleh?"

"Air hujan kotor!"

Saya menduga lagi.

"Apa beza air masak dengan air paip?"

Dia berfikir lagi.

"Air masak boleh minum air paip tak boleh!"

Dia menggunakan hujah yang sama dengan logik dan loghat budak-budak tadikanya.

"Kenapa air paip tak boleh?"

Fawwaz menjawab;

"Air paip kotor!"

Guruh kecil di luar mengaum comel. Saya 'membidas' dengan menyoalnya.

"Habis, Fawwaz basuh tangan guna apa?"

"Guna air paip la! Takkan air masak pulak!"

Kilat. Ya...Kilat memancar di awan hitam luar kereta di langit Tuhan.

"Tadi kata air paip kotor! Jadi, Fawwaz basuh tangan guna air kotor la? Bukan ke basuh tangan nak bersih. Kenapa nak bersihkan tangan guna air paip yang Fawwaz kata kotor?"

Guruh berdentum lebih kuat. Paling kuat.

Azri tergelak. Hisham 'ter'tido.

Fawwaz?

Senyap dan kelihatan pening. Ubah topik.

Peristiwa di atas diakui punyai unsur tokok tambah semasa perjalanan pulang dari Tanjung Malim bersama Fawwaz and The Gang semalam.



TUHAN DAN MINDA SI KECIL

Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban.Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa. -Ar-Rum (30:54)

Budak kecil atau Children dalam bahasa Queen Elizabeth merupakan sesuatu yang menarik untuk dibincangkan.Saya kagum dengan kuasa Allah swt bagaimana dengan kun-fayakunNya; proses pemikiran mereka, si anak-anak kecil ini bermula.


Saya masih ingat ketika kecil sekitar umur 7 tahun; saya merasa ajaib melihatkan orang dewasa membaca Al-Quran dengan begitu laju. Saya rasa takjub menyaksikan mereka mampu membaca artikel surat khabar tanpa perlu mengeja. Bilakah proses itu bermula? Di manakah mulanya kuasa Allah swt didetikkan? Masih jelas, dek mahu menghambat kepantasan orang dewasa membaca buku, saya terus memulakan dengan membaca komik Doraemon. Sekadar permulaan bagi menguasai bahasa yang mudah. Itu sekitar 13 tahun yang lampau. Saya masih teringat. Kuasa Allah swt lagi!

KETULENAN EKSPRESI MINDA SI KECIL

Kanak-kanak mudah untuk menerima tetapi kurang menganalisis sebaliknya memaksimumkan ekspresi emosi dan pengetahuan mereka dengan lebih bebas. Sebaliknya insan yang semakin dewasa cenderung untuk takut menyatakan suara hati nurani kepada khalayak.

Mengapa?

Kerana kelihatan pada hemat si dewasa, begitu banyak kepentingan perlu diutamakan. Sayang, kepentingan duniawi dalam kebanyakan hal.

Seorang akauntan perlu berfikir adakah mereka akan dibuang kerja atau tidak sebelum mereka menegakkan kebenaran tentang penyelewengan kewangan kepada syarikat terbabit. Malah, seorang pembantu rumah turut berfikir sama ada mereka akan dicerca ataupun tidak sebelum memberitahu 'boss' mereka tentang perihal kelakuan sumbang 'anak boss' di hadapan mata.

Pendek kata, orang dewasa beribu kepentingan (cenderung ke arah duniawi) hingga kebebasan meluahkan apa yang tersimpan di buku hati; secara tidak sedar rupanya tersekat. Ironinya, kanak-kanak seperti Fawwaz tiada kepentingan (melainkan kepentingan fitrah yang dia sendiri pun tidak sedar terpaculnya pendirian berkenaan dalam dirinya) dan ternyata lebih bebas meluahkan apa yang ada di kalbu kerdil mereka. Kerana itu ada kata-kata berkata :

"Mungkin hikmah Allah swt menjadikan seorang tua itu kembali kepada fitrah anak-anak kecil kerana orang tua itu sudah letih menjaga kepentingan duniawi dan mahu membebaskan emosi! Lantas, dia pulang ke kepentingan fitrah"

Nyanyukkah orang dewasa yang meluahkan hati nurani mereka? Nyanyukkah seorang rakan menegur rakan yang makan seDining Hall, solat seMusolla dan berhimpun seGreat Hall atas perbuatan sumbang mereka meskipun itulah yang selama ini terpendam dalam hati yang membenci dosa? Nyanyukkah mereka yang meluahkan perasaan ikhlas di hati terhadap kezaliman sesuatu pihak dengan tidak berpihak memberi undi kepada si penzalim tadi?

Kata Islam, yang nyanyuk ialah mereka yang senyap hatta pada hati akan jenayah di hadapan mata kepala sendiri !

Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?
-Yaasin (36:68)

Kerana itulah saya rasa, dari satu segi, kita perlu kembali kepada kepentingan fitrah persis si Fawwaz dengan akal rasional dan matang (tidak seperti si Fawwaz yang kurang menganalisis dek kurangnya pengalaman dan pengetahuan) sebelum Allah swt mengembalikan kita ke kenyanyukan dengan penuh kehinaan. Nauzubillah!

Persoalannya, apakah kepentingan fitrah itu?

Jawapannya, kembali kepada yang menciptakan Fitrah. =)

Akhir kata;“Barangsiapa yang kenal akan dirinya, maka kenallah dia akan Tuhannya”

Kepentingan fitrah~ Hmmm~

ImageChef.com - Custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more


No comments: