Sunday, May 3, 2009

Monolong : Ilmu, Ego dan Taqwa


بسم الله الرحمن الرحيم
Salam.

Salam sejahtera iman dan kesempurnaan mukmin sejati insyaAllah

Tiada makhluk itu sifatnya sempurna; kerna itu makhluk menjadi hamba. Hanya Allah swt itu sifatnya sempurna; kerna itu Allah swt menjadi Tuhan Maha Berkuasa. Moga segala kebaikan tercurah; menghapus dosa yang membarah.

"Waatbi'i saiyiatal hasanata tamhuha"
"Susulilah keburukan itu dengan kebaikan"

Moga kebaikan dan kebajikan yang sama-sama kita tintakan menjadi buah segar menghidupkan hati yang tampak pudar. Moga dengannya hati yang pudar menjadi lebih bersih. Hati pudar menjadi mekar. Membuahkan hati yang tunduk patuh teguh utuh pada setiap perintahNya yang disuruh.

Tiada makhluk itu sifatnya terpuji; kerna itu makhluk menjadi hambaNya yang hina keji tanpa rahmat Illahi Yang Maha Suci. Hanya Allah swt itu sifatnya terpuji; kerna itu Allah swt menjadi Tuhan Maha Layak Dipuji. SemuaNya kerna Dia. Yang dapat membuat baik kerana Dia; yang dapat menyaksikan kebaikan yang dilakukan juga adalah kerna izinNya. Tiada layak kita menghitung kesan kebaikan; kerna itu milik keputusan Tuhan. Hanya layak kita termampu melakukan kebaikan; sebanyak-banyak bagi mencari keredhaanNya yang berpanjangan.

Pujian manusia adalah pahala dunia; apabila yang membuat itu semakin bertaqwa. Ironis; Pujian manusia adalah celaan semata; apabila yang membuat itu semakin tercela. Moga termasuk kita semua dalam golongan pertama. Dihindarkan kita semua dari yang kedua.

Terasa terfikir jua semasa menelaah kata-kata orang tertinta. Alhamdulillah, semua pandangan adalah input berharga; mutiara yang memang ingin kita jala. Kita terima dengan senang hati; sebagaimana yang menintakannya juga senang hati. Namun; bak kata orang tua-tua; yang baik dijadikan tauladan, yang buruk dijadikan sempadan.

Sekadar terdetik; semasa kaki pulang melerek; bukan melenggang seperti mak nenek; sebaliknya menginsafi hakikat betapa bahayanya kebaikan jika tidak pandai dikelek.

Ilmu itu adalah kebaikan. Orang yang inginkan kebaikan akan mencari ilmu. Apabila ilmu ditadah, maka ia akan tersemat erat di mana-mana tempat yang tiga, bergantung kepada niat. Tempat yang tiga; antara telinga, akal ataupun hati. Ilmu tersemat di telinga amat bahaya jika tidak disumbat cepat; umpama kempunan melihat kembang Bunga Seri Pagi berwarna ungu dek terlambat bangun terpacak di tengah hari nan buntu. Ilmu tersemat di akal adalah syarat asas, penentu cetusnya TAHU yang akan mengarahkan tangan dan kaki menrembeskan enzim MAMPU. Tetapi tetap tidak berubah; ilmu tersemat itu tertinggi adalah di HATI kerna ia melahirkan MAHU yang tidak siapa mahu menampi; dengan izin Ilahi Yang Maha Suci.

Ilmu itu adalah kebaikan. Ilmu itu boleh berubah menjadi kejahatan. Yang pasti ilmu pasti menjadi peningkat. Ilmu itu adalah kebaikan bilamana ia menjadi peningkat taqwa. Ironis, ilmu itu adalah kejahatan bilamana ia menjadi peningkat ego. Mana mungkin taqwa dan ego bersatu; begitu juga kebaikan dan kejahatan tidak boleh bersatu bapak bersatu ibu. Turun ego adalah tingkat taqwa. Tingkat ego adalah turun taqwa. Waiyazubillah untuk kita semua!


Ilmu itu adalah cahaya. Cahaya pada sumbu pelita akan padam jika tidak diletak minyak BERULANG KALI. Minyak perkara paling asasi. Untuk memberikan hidup pada cahaya. Pada cahaya yang ilmu pencetusnya.

Justeru andai kita tidak rajin meletak minyak BERULANG KALI meskipun menyedari minyak itu ASASI; janganlah harap cahaya ilmu akan menyala terang; menyuluh keimanan yang benderang. Hanyalah dengan sabar menjadi rajin meletak minyak BERULANG KALI kerna menyedari minyak itu ASASI; barulah ego kita turun, taqwa kita tingkat; jauh sekali untuk kita katakan cahaya ilmu yang sudah kita miliki awal itu tadi adalah SIA-SIA... kerna apalah ilmu kita yang tidak seberapa, pabila DIA merampas yang pasti tanpa perlu meminta izin KITA~

Sebaliknya, ucapkanlah Alhamdulillah kerna masa kita biarpun diambil lama pada mata manusia hina; BERULANG KALI meletak minyak yang sama YANG ASASI; masa itu adalah terlampau berharga kerana ia adalah menjadi rahmat agar cahaya ilmu yang sedari awal kita garap; tidak akan terpadam dengan kerap; yang nauzibillah mungkin akan menghitamkan jalan ke syurga.

Bersihkan hati kami
Sucikan nurani kami
Ingin kami rasai nikmat iman yang terhebat
Biarpun sesaat~

Alhamdulillah!
Alhamdulillah!
Alhamdulillah!
Allahuakbar!

Jazakallahukhairankasira kepada semua
Asif jiddan atas segala kekhilafan insan yang marhaen ini
-Ibnu Yusoff, Abu Abdullah insyaAllah

Monolog Selepas Kursus Pra-Perkahwinan Kali Pertama Di Melbourne & Australia
Anjuran EHSAN Victoria dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia Ke Australia

ImageChef.com - Custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more


3 comments:

HidayatiHH said...

makna yang sungguh mendalam sekali..

jzk.k.k atas peringatan ini.

Nurhanis binti Ramli said...

apapasal terlalu puitis ayt tuh
wu3....

Anonymous said...

"bhawa mukmin yg berjaya itu adalah yg mampu mgawal marahnya.." takrif marah ada kaitnya dgn ego.