Monday, October 20, 2008

Penangan Harta

بسم الله الرحمن الرحيم
Salam.

Saya pernah menulis berkenaan harta. Tak Nak Pada Bank Islam?! bunyinya (klik pada tajuk). Tetapi kali ini adalah realiti yang melanda. Melanda umat manusia. Insan yang digelar manusia. Cik Nizam asyik-asyik menggunakan muqaddimah yang sama dalam menakrifkan erti manusia. Ibnu Khaldun pernah kan mengomel dalam Al-Muqaddimah, 'manusia itu adalah haiwan berkata-kata'.

Kita tinggalkan Cik Nizam dan Ibnu Khaldun. Kembali pada harta dan Tak Nak Pada Bank Islam itu.


Dalam Al-Quran yang mulia itu, penangan harta dijelas begitu terang lagi bersuluh. Antara yang mencengkam jiwa penulis adalah petikan surah Al-Kahfi yang berbunyi;


“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu
serta lebih baik untuk menjadi harapan”

-Al-Kahfi (18:46)

Pernah seorang sahabat saya menceritakan.

Daripada sahabat saya itu penulis merekodkan bahawa sesungguhnya sahabat saya pernah diceritakan oleh salah seorang sahabatnya yang menyertai sebuah golongan al-mala' secara sah dan sahih bahawasanya sahabatnya itu mengakui seperti berikut :-

"Oh memang tahu dalam golongan kami ini buruk akhlaknya. Basi sungguh makan suapnya. Oh memang sedar dalam golongan kami ini memang aniaya dan diskriminasi saja. Orang kampung marhaen macam kamu nie kata apa, rompak?! Ha...itulah!!! Ada ongkos semua jalan. Berpeti-peti riyal barulah ada 'class'! Memang diakui memang fulus, roh dan nyawa kami"

"Maka, kenapa diteruskan dosa?"

"Ish..kamu nie...sebab sini ada harta...untuk anak-anak jualah mudah...Masa depan..."

Hari itu cerita yang sama berdendang. Kalau tadi 'hearsay' kini pengakuan di depan mata!!!

"Abang akui bla..bla..bla..."

Tidak mahu penulis juihkan kata-kata itu di sini. Kerana tiada guna menumpahkan dakwat pengkhianat pada amanah. Kerana tiada guna menuliskan kalam-kalam seorang yang kufarat pada ideologi fulusnya itu.

"......Tetapi demi kita, al-mala' kena berkuasa meskipun begini keadaannya..
Kalau tidak habis kita! Ini benteng terakhir orang kita....."


My faculty at Melbourne Uni

Penangan harta. Antara masa depan. Masa depan itu adakah di dunia semata-mata?
Atau masa depan di akhirat sana?

Tiada kehidupan selain akhirat.

Daripada Ali bin Abi Thalib r.a., "Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah saw. di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab bin Umair r.a. dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit.

Tatkala Rasulullah saw.melihat kepadanya Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus'ab ketika berada di Mekkah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus'ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekkah).

Kemudian Nabi Muhammad saw. bersabda, "Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu sepertimana kamu memasang kelambu Ka'bah?".

Maka jawab sahabat, "Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada di hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki".

Lalu Nabi saw. bersabda,
"Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu".

-H.R. Termizi

Keterangan hadis :

Dalam hadis ini Nabi kita Muhammad saw menerangkan bahawa umatnya pada suatu masa kelak akan mendapat kekayaan dan kelapangan dalam kehidupan. Pagi petang pakaian silih berganti. Hidangan makanan tak putus-putus. Rumah-rumah mereka tersergam indah dan dihias dengan bermacam-macam perhiasan.

Dalam keadaan demikian kita juga mungkin akan berkata seperti perkataan sahabat. Di mana, kalau semuanya sudah ada, maka senanglah hendak membuat ibadat. Tetapi Nabi kita Muhammad saw. mengatakan, "Keadaan serba kekurangan itu adalah lebih baik untuk kita”, ertinya lebih memungkinkan kita untuk beribadat.

Kemewahan hidup banyak menghalang seseorang dari berbuat ibadat kepada Allah swt., sepertimana yang berlaku di hari ini. Segala yang kita miliki kalaupun tidak melebihi keperluan, namun ianya sudah mencukupi.

Tetapi, bila dibanding dengan kehidupan para sahabat, kita jauh lebih mewah daripada mereka, sedangkan ibadat kita sangat jauh ketinggalan. Kekayaan dan kemewahan yang ada, selalu menyibukkan kita dan menghalang dari berbuat ibadah.

Kita sibuk menghimpun harta dan juga sibuk menjaganya serta sibuk untuk rnenambah lebih banyak lagi. Tidak ubah seperti apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah saw., "Seandainya seorang anak Adam itu telah mempunyai satu jurang emas, dia berhasrat untuk mencari jurang yang kedua, sehinggalah ia dimasukkan ke dalam tanah (menemui kematian)".

Begitulah gambaran yang sebenar terhadap kehaloban manusia dalam menghimpun harta kekayaan. Ia sentiasa mencari dan menambah, sehinggalah ia menemui kematian Maka ketika itu, barulah ia sedarkan dirinya dengan seribu satu penyesalan. Tetapi di saat itu sudah tidak berguna lagi penyesalan.

OIeh itu janganlah kita lupa daratan dalam mencari harta kekayaan. Tidak kira halal atau haram, yang penting dapat harta. Tidak kira waktu sembahyang, bahkan semua waktu digunakan untuk menimbun kekayaan. Biarlah kita mencari mata benda dunia pada batas-batas keperluan.

Kalau berlebihan bolehlah digunakan untuk menolong orang lain yang kurang bernasib baik, suka menderma dan suka bersedekah, sebagai simpanan untuk hari akhirat kelak. Orang yang bijak adalah orang yang mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya dan ia menjadikan dunia ini tempat bertanam dan akhirat tempat memetik buahnya.

Kredit : http://www.pekida.org/hadis40/hadis10.htm

Allhumma! Hindarkan kami daripada fitnah harta yang berleluasa ini! Moga Allah swt memberikan hidayah pada Al-Mala', hidayah pada yang sertai golongan Al-Mala' dan hidayah pada yang berdakwah pada golongan Al-Mala'.

Ameen~

ImageChef.com - Custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more

2 comments:

JHaZKiTaRo said...

a'kum. i've linked your blog in mine.. :)

Muhammad Za'im Bin Mohamad Yusoff said...

Salam semua

To Jzhazkitaro : Occay!

=)

Thanks for visiting