Tuesday, March 18, 2008

TAK NAK PADA BANK ISLAM?!


Alhamdulillah minggu lepas, akhirnya saya berjaya menutup akaun simpanan konvensional CIMB Bank saya dengan membuka akaun simpanan mudharabah CIMB Islamic Bank. Lega dan bersyukur pada Allah SWT. Sebenarnya sudah lama saya berniat melakukan hal yang sedemikian, namun kerana masa yang terbatas dan keadaan yang tidak lawas menyebabkan hasrat terkandas.

KREDIT

Oleh itu, sekalung penghargaan buat ayah saya yang sudi menemani dan memasukkan deposit wang ke dalam akaun baru, ibu yang kian memahami soal halal haram perbankan, sudah semestinya Kak Khida, pengurus biasiswa UEM kami yang baik banget dalam membenarkan hal ini terjadi, akak comel CIMB yang manis membantu juga abang India yang mesra dan semua pihak yang turut menjayakannya samada secara langsung mahupun secara tidak langsung.

PERKEMBANGAN PERBANKAN DAN KEWANGAN ISLAM DI MALAYSIA

Saya kira semua sedia maklum dengan perkembangan perbankan Islam. Malah, YAB PM sendiri dalam wawancara baru-baru ini ada menjelaskan bahawa selain daripada bio diesel, potensi Malaysia selaku hub perbankan Islam harus dicungkil dengan lebih mendalam lagi.

Saya sangat bersetuju dengan hal ini memandangkan kelebihan perbankan Islam secara tersurat mahupun tersirat, daripada sudut kaca mata liberal mahupun berkat; perbankan Islam ternyata memberikan suatu ruang yang terbentang buat makhluk yang pernah digelar sebagai binatang yang boleh berkata-kata ini; bernafas, dalam kesesakan kapitalisme ciptaan makhluk ini yang menindas.

Alhamdulillah, pada Allah kita pohonNya berkat merahmati para alim ulama' yang telah bertungkus lumus mencari dan menyingkap isi Al-Quran dan Hadis dalam menterjemahkan konsep halal haram dalam praktikal kewangan dan perbankan sebenar.

POLEMIK MASYARAKAT KITA

"Ala! Sama ja simpan kat bank Islam ke bank konvensional ke, duit jugak!"

"Wei, mak aku keje bank cakap kan, perbankan Islam nie same je dengan konvensional, tukar term jer"

"Nyusahkan jer nak tukaq-tukaq nie"

Ramai orang bereaksi sedemikian. Malah saya sendiri pernah suatu detik ada juga berpendirian sedemikian. Astaghfirullah. Semuanya kerana jahil ilmu dan minda tertutup selain daripada hati saya yang kotor.

Alhamdulillah, setelah mengenali dan membaca sedikit sebanyak tulisan Ustaz Zaharuddin (moga Allah rahmati saudara) di www.zaharuddin.net; saya terus jatuh cinta dengan konsep pengurusan ekonomi dan kewangan Islam. Tambahan pula, naskhah pertama tulisan beliau; Wang, Anda dan Islam yang saya pinjam daripada Saudara Khairul (moga Allah rahmati saudara) telah mencelikkan mata saya tentang 'keajaiban' sistem Islam yang begitu syumul, selamat dan lebih menguntungkan dunia akhirat. Daya tarikan itu kelihatan semakin kuat kerana kebetulan saya akan menyambung pelajaran dalam jurusan ekonomi tidak lama lagi. Insya-Allah (doakan saya ke LSE!)

KENAPA PENTING?

Al Quran :

Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan (Al-Kahfi:46)

Hadis :

Tidak akan lepas dua kaki anak Adam di akhirat di hadapan Allah swt kecuali setelah ditanya lima perkara: Tentang umurnya di mana ia habiskannya, tentang kepemudaan dan kepemudiannya di mana digunakan, dan tentang harta dari mana datangnya dan ke mana dibelanjakannya, dan apakah yang dilakukan dengan ilmunya." (Riwayat At-Tirmidzi, no 2416 ; Albani: Sohih)

MARI BANDING

Jika saya hendak berkongsi semua perkara secara terperinci pastinya entri ini akan berjela-jela panjangnya, oleh itu elok jika saya hanya fokuskan berkenaan konsep yang dekat dengan kita dan yang boleh segera kita praktikkan.

Dengan pengalaman dan pembacaan saya, insya-Allah sedikit sebanyak mari kita berkongsi ilmu berkenaan akaun simpanan konvensional dan akaun simpanan mengikut konsep Islam.

SISTEM SEKARANG DAN PERBANDINGAN (Berdasarkan praktis kita selaku orang awam)

Kita perlu jelas yang kita punyai dua altenatif. Dua pilihan. Dua jalan. Dua sistem.

Pilihan pertama : Akaun simpanan konvensional. Ia lebih dikenali sebagai akaun simpanan biasa (ordinary savings account)

Kita bagi duit pada bank.

Katakan RM100.

Bank ambil duit, labur duit ke syarikat yang boleh buat untung. Awal-awal lagi bank dah tetapkan kadar faedah tetap pada kita.

Katakan 10 peratus.

Maksudnya,kita dah tahu berapa banyak yang akan kita dapat. Sebabnya, kadar faedah tetap itu berdasarkan MODAL AWAL yang kita letak tadi BUKANNYA UNTUNG NANTI!

Maksudnya 10 peratus daripada RM100. Maksudnya pulangan yang kita dapat nanti TETAP TIDAK BERUBAH RM110 walaupun bank membuat untung RM 150 hatta RM 1 juta pun!

Kalau bank rugi, bank tetap kena bayar pulangan itu pada kita. Kita suka tapi bank merana.Sudahlah bank rugi, kena bayar dekat kita lagi. Apa kes? Bagi rakan-rakan yang ambil accounting, sudahlah bank rugi.Bank pula wajib bayar pada 'preference shareholders", "debentures holders" dan sebagainya. Lagi rugi kan? Kalau kita sebagai pengusaha bank, macam mana?

Tetapi kalau bank untung menggila tinggi,bank HANYA membayar pulangan dengan jumlah yang telah awal-awal ditetapkan tadi. Kita mesti tak suka sebabnya sepatutnya kita boleh dapat untung lebih daripada RM10 kalau kita melabur sendiri dengan tidak menggunakan bank sebagai pengantara!

Yang Haram :

1. Di mana duit kita dilaburkan? Di syarikat judikah? Di syarikat arakkah? Di mana? Kerana tiadanya penekanan tentang nilai Islam sejak mula, maka kebarangkalian untuk ke arah haram apatah lagi syubhah adalah tinggi. Malah, sekarang sudah ada perbankan Islam, pastinya kebarangkalian untuk ke arah haram apatah lagi syubhah adalah lebih lebih tinggi dalam bank konvensional.

INGAT!

Hadis : "Setiap daging yang tumbuh daripada harta kotor (haram) maka neraka adalah lebih layak untuknya." (Riwayat At-Tabrani,19/136; Al-Mughni lil 'Iraqi, 2/9207; Ithaf As-Sadat al-Muttaqin, Az-Zubaydi, 5/226)

2. Penindasan berlaku kepada bank (apabila rugi tapi perlu bayar FAEDAH RIBA) atau pelanggan (apabila untung tapi hanya dapat mendapat nisbah kecil).

INGAT!

Al-Quran : "Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki baki RIBA sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya, ISYTIHARKANLAH PERANG DENGAN ALLAH SWT DAN RASULNYA. Dan jika kamu bertaubat (daripada pengambilan riba), mkaa bagimu pokok hartamu; kamu TIDAK MENGANIAYA dan TIDAK (pula) DIANIAYA" (Al-Baqarah: 278)

Seterusnya : Kehilangan berkat harta dan kehidupan (Al Baqarah:276)

Hadis : Hukuman di dunia : "Sesungguhnya riba walaupun lumayan (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa." (Riwayat Ahmad,al-Hakim)

Hukuman di akhirat : "Tidak diterima daripada pemakan riba (yang menggunakan harta riba tadi) sedekahnya, hajinya, jihadnya dan persaudaraannya." (Al-Jami'li Ahkamil Quran,Al-Qurtubi,3/362; Az-Zawajir, ibid 1/224)

Hadis : Dosa riba seperti berzina dengan ibu bapa sendiri, lebih berat daripada 36 kali zina, salah satu daripada tujuh dosa terbesar. (Rujuk halaman 25,26 : Wang,Anda dan Islam, Zaharuddin Abd Rahman)

Pilihan kedua : Akaun simpanan dan pelaburan Islam

Ada dua jenis :

Pertama :

Akaun Simpanan Atas Asas Wadi'ah (asal daripada bahasa Arab; Wadaa' yang bermaksud simpan).

Konsepnya bank tolong simpan duit dan pastikan duit kita selamat dan boleh dikeluarkan pada bila-bila masa oleh kita.

Kita bagi duit pada bank. Untuk manfaat dan menanggung kos pengurusan, biasanya bank Islam akan laburkan pada pelaburan halal. Tetapi bank jamin kita boleh keluarkan duit bila-bila masa dan bank bersedia menanggung kerugian atas sebarang masalah yang berlaku.

Selalunya, pihak bank akan memberikan hibah (hadiah sejumlah wang) kepada kita sebagai tanda penghargaan. Tetapi ada juga bank yang tidak membenarkan pemberian hibah bagi mengelakkan syubhat riba seperti Kuwait Finance House (Malaysia) Berhad.

Tetapi, harus diingat hibah sama sekali TIDAK BOLEH DIJANJIKAN OLEH BANK DAN TIDAK BOLEH DITUNTUT OLEH PELANGGAN. HIBAH BERGANTUNG PADA BUDI BICARA BANK. Oleh itu jika bank rugi, tiada hibah diberikan dan kita tidak rugi apa-apa sebab duit kita seperti dalam kontrak masih selamat.

Yang Halal :

1. Kita berpeluang mendapat pulangan dalam keadaan wang simpanan kita terjamin tanpa risiko hasil pelaburan.

2.Jika bank tidak untung, mereka tak perlu bayar apa-apa pada kita. Justeru, bank tidak teraniaya.

3. Tiada riba dan kerana statusnya sebagai akaun Bank Islam, pihak panel Syariah yang dilantik akan memastikan pelaburan dan sistem yang halal berjalan.

Kedua:

Akaun Simpanan Mengikut Mudharabah (perkongsian untung)

Konsepnya, kita boleh simpan wang sambil buat pelaburan secara khusus. Dalam lain perkataan, kita bersedia menerima risiko lebih bagi membuka ruang untuk mendapat peratusan keuntungan yang lebih besar jika bank meraih pulangan lumayan.

Kita bagi duit pada bank.

Katakan RM100.

Bank ambil duit, labur duit ke syarikat yang boleh buat untung tetapi yang PALING UTAMA ADALAH HALAL. Pulangan untung pula berdasarkan nisbah seperti 80:20, 60:40, 70:30 i.e. 70 peratus daripada keuntungan untuk pelanggan dan 30 peratus untuk bank. (secara praktis bank sudah menetapkan nisbah keuntungan bagi memudahkan pengurusan)

Katakan kita akan mendapat 70% keuntungan. Dan bagi bank 30% daripada keuntungan.

Maksudnya,kita belum tahu berapa banyak yang akan kita dapat kerana ia berdasarkan keuntungan apabila selesai bank melabur. Sebabnya, kadar faedah tetap itu TIDAK berdasarkan MODAL AWAL (RM 100 dalam kes ini) yang kita letak tadi TETAPI SEBALIKNYA BERDASARKAN UNTUNG YANG BAKAL DITERIMA!

Maksudnya andai keuntungan pelaburan RM200. Dengan 70% keuntungan kita berhak mendapat RM140 dan untuk bank, mereka akan peroleh RM 60. Bukankah ini lebih adil dan menguntungkan?

Yang halal :

1. Konsep pulangan tidak haram kerana keuntungan tidak dijamin pada jumlah tertentu.

2. Dilaburkan bagi kegunaan perniagaan bank Islam yang telah dipastikan halal.

3. Dilaburkan bagi membiayai perniagaan pihak ketiga yang juga dipastikan perniagaanya halal. Semua perniagaan ini telah ditapis oleh Majlis Penasihat Syariah dan pengurusan bank. Oleh itu, semua Syariah-approved companies telah dipastikan dengan teliti ketepatannya dari sudut Syariah dan semua keuntungan yang bakal diperolehi adalah harta yang bersih dan telus.

BERTINDAKLAH SEGERA SEBELUM TERLAMBAT

Dengan penjelasan yang ringkas ini diharapkan kita melakukan perubahan segera bagi wang simpanan kita di bank kerana menghidari yang HARAM adalah WAJIB dan FARDHU bagi tiap-tiap jiwa Muslim. Pastinya mereka yang sama situasi seperti saya yang tertakluk kepada sistem pihak pengurusan biasiswa mungkin mengalami sedikit kesulitan. Tetapi, BERTANYA dan BERBINCANGLAH dengan pihak pengurusan biasiswa kita.

Dalam kes pemegang biasiswa UEM, memandangkan saya telah alhamdulillah berjaya menukarkannya berdasarkan kebenaran dan galakan daripada pihak pengurusan biasiswa UEM sendiri; maka adalah suatu KEWAJIPAN bagi rakan-rakan pemegang biasiswa UEM seangkatan untuk melaksanakan perubahan ini demi keredhaan Allah swt.

AL-KAHFI AYAT 46 DAN SYEIKH IBN ASYUR

“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan” (Al-Kahfi:46)

Menurut Syeikh Ibn Asyur, ayat daripada sudah al-Kahfi di atas mengingatkan kita bahawa amal soleh dan keberkatan adalah lebih perlu diutamakan daripada harta banyak tanpa halal. Jadi dalam konteks ini, walaupun kita mendapat untung yang banyak, ia belum pasti lagi menggembirakan kita di alam barzakh kerana barangkali ia datang daripada sumber yang haram.

Andai pertimbangan keduniaan menguasai diri, ia adalah suatu tanda dan bukti umat Islam sudah semakin hilang sensitiviti terhadap kebenaran alam barzakh dan akhirat. Sesuatu yang haram dan syubhat amat zalim kepada Allah SWT walaupun amat menarik di sisi mata dan hati manusia.

AMARAN RASULULLAH SAW

Hari Khamis ini, kita semua akan menyambut apa yang digelar sebagai Maulidur Rasul. Bukanlah cinta yang hakiki kepada Nabi andai mulut berselawat nyaring tetapi diri sendiri tidak disaring. Apakah benar kita mengikut anjaran baginda ataupun tidak.

Bukanlah kasih kepada Nabi andai kita "belarak" bagai "nak rak' pada suatu hari dalam setahun sahaja, tetapi amaran Nabi tidak kita endah, malah dicampak dijuih ketepi. Astaghfirullah.

Ingatlah kita!

Sabda Rasulullah SAW "Apabila zahirnya secara meluas riba dan zina, tandanya adalah mereka telah menghalalkan (bagi turunnya) azab Allah ke atas mereka" (Riwayat Al-Hakim, 2/37 dan Abu Yu'la; Al-hakim: Sohih dan disepakati Az-Zahabi; Albani: Hasan)

Jadi, KATAKAN TAK NAK PADA AKAUN SIMPANAN KONVENSIONAL!

Kredit terbesar dari sudut penerangan, struktur penjelasan ayat dan rujukan kepada Ustaz Zaharuddin Abd Rahman menerusi buku "Wang, Anda dan Islam" tulisannya sendiri. Jazakallahu khairan kasira.

KOSA KATA (menurut kamus bergerakku/according to my portable dictionary):

Lawas

1. lapang, luas / wide

2. melawas : menjadi kurang atau berkurangan (berkenaan buah-buahan) / to decline or decrease as of fruiting

3. lama / old

4. lancar pembuangan air besar atau kecil / easy (as of pass urine, etc.)

Banget

1. sangat, amat sangat / very, exceedingly

Manis

1. rasa seperti gula atau madu / sweet

2. cantik, elok, molek / sweet, pleasant, attractive

3. sopan, beradab / polite

4. sangat menarik (muka, percakapan, perawakan), lemah lembut / sweet and attractive